arena

Siti Zalina mahu layak ke Kejohanan Dunia

Oleh Aida Adilah Mat

PEMAIN boling padang negara Siti Zalina Ahmad bakal berdepan jadual padat dalam misinya untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Australia tahun depan.

Kejohanan Asia Pasifik juga akan berlangsung di Australia dari 18 hingga 28 Jun akan hingga menjadi kayu pengukur dan penanda aras yang diletakkan oleh Persatuan Boling Padang Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk ke kejohanan itu.

Malah kejohanan Asia Pasifik iut akan menjadi kejohanan pemanas badan buat semua pemain negara yang dalam persediaan menghadapi temasya Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini.

"Saya akan beraksi di Kejohanan Terbuka Australia terlebih dulu pada awal Jun dan seterusnya Asia Pasifik dan kemudian Sukan SEA Filipina.

"Dua tahun lalu di Kejohanan Asia Pasifik saya meraih dua gangsa kali ini saya harap dapat menukar warna pingat itu.

"Bagaimanapun jurulatih masih belum menetapkan acara apa yang akan disertai. Tapi saya tidak kisah dan akur dengan apa saja keputusan jurulatih biarpun acara kegemaran saya adalah individu," katanya dicalonkan sebagai sebagai Olahragawati Kebangsaan 2018.

Nama Siti menjadi sebutan sebagai antara calon pilihan Olahragawati Kebangsaan 2018 yang akan berlangsung 23 April ini selepas kejayaannya menyumbangkan emas dalam acara pairs di Sukan Komanwel, Gold Coast tahun lalu.

Siti yang bergandingan bersama Emma Firyana Saroji berdepan cabaran getir dari pasangan Afrika Selatan, Nicolene Neal-Colleen Piketh sebelum berjaya menamatkan kemarau 12 tahun dalam acara itu di temasya Komanwel.

"Sukar untuk bercakap mengenai peluang kerana semua calon adalah hebat dan mereka mempunyai kelebihan masing-masing.

Apapun, saya gembira dicalonkan sebagai penerima anugerah Olahragawati Kebangsaan buat kali keempat," katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 4:03pm
d