arena

TSC hampiri kejuaraan TdIJ

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELEPAS bertindak cemerlang pada Le Tour de Langkawi (LTdL), Team Sapura Cycling (TSC) semakin hampir untuk memahat satu lagi sejarah apabila pelumba mereka muncul juara peringkat kedua sekali gus merampas kedudukan pendahulu keseluruhan Tour de Iskandar Johor (TdIJ).

Pada perlumbaan dari Muar ke Yong Peng sejauh 173.4 kilometer, pelumba TSC, Cristian Raileanu muncul juara selepas selesa melintasi garisan penamat secara solo, manakala rakan sepasukannya Mario Vogt merampas jersi biru selaku pendahulu keseluruhan.

Raileanu dari Moldova jelas masih belum berasa penat walaupun mengharungi lapan peringkat perlumbaan LTdL minggu lalu, apabila mengetepikan Zhang Zheng dari pasukan Hengxiang di tempat kedua manakala pelumba 7Eleven Cligg Air-21, Dominic Perez di tempat ketiga.

“Saya amat gembira dengan pelumbaan hari ini dan keadaan saya memang bagus ketika berlumba. Paling penting taktik pasukan kami menjadi hari ini, walaupun beberapa kali berlaku pemecahan,” katanya Raileanu, 26.

Dia yang muncul juara kebangsaan Moldova pada 2016 mengakui persiapan sejak Januari lalu terutama di kawasan berbukit di negara ini banyak membantu pelumba TSC dan mereka juga sudah biasa dengan cuaca panas.

Sementara itu, Vogt yang menduduki tempat keempat dengan catatan masa keseluruhan 6 jam 18 minit 58 saat, yakin mereka mampu mempertahankan jersi biru sekali gus mengulangi pencapaian pada LTdL 2019.

“Sudah pasti kami akan cuba menamatkan kempen sebagai juara keseluruhan, kami mempunyai pasukan yang kuat. Esok perlumbaan yang pendek dan kami masih mempunyai tenaga untuk terus menyerlah.

“Saya yakin kami mampu mengekalkan jersi ini kerana beberapa pelumba berada di kedudukan terbaik dan saya tidak kisah siapa yang akan mengekalkan jersi ini, asalkan ia TSC,” kata pelumba dari Jerman itu.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 5:58pm
d