arena

Tuck cari dokumen sahih

Oleh BERNAMA

PEMAIN berdarah campuran Terengganu FC (TFC), Lee Tuck masih gagal mengemukakan dokumen lengkap yang diperlukan untuk didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara.

Perkara itu disahkan penolong pengurus TFC, Zulfadli Rozi sebagai menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya pengurusan pasukan dan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak membantu pemain kacukan England-Malaysia itu dalam usaha menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

“Sebenarnya, bukan persatuan tiada usaha... semua kena faham situasi ini. Ia berkaitan pemain itu sendiri. Apa saja yang Lee mahukan termasuk minatnya untuk menyarung jersi kebangsaan kami cuba membantu tapi kami masih menunggu bukti dokumen daripada Lee.

“Bukti yang mengatakan dia ada pertalian darah sebelah nenek seperti yang didakwa. Hingga sekarang dia masih mencari dan meminta bantuan keluarganya di England untuk turut membantu,” katanya ketika ditemui pada majlis undian suku akhir Piala FA di Kuala Lumpur, hari ini.

Difahamkan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi tempoh hingga minggu depan buat Tuck dan PBSNT mengemukakan dokumen diperlukan atau dia terpaksa menunggu lebih lama untuk merealisasikan impian menyarung jersi kebangsaan.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 11:33pm
d