arena

Slavia hampir 'lemaskan' Chelsea

Oleh Reuters

CHELSEA mara ke separuh akhir Liga Europa dengan menewaskan Slavia Prague 4-3 in dalam aksi mendebarkan awal pagi tadi yang dibantu jaringan berganda Pedro pada separuh masa pertama sebelum menyaksikan kebangkitan kelab Republik Czech itu selepas rehat.

Chelsea yang akan menentang Eintracht Frankfurt dalam kelompok empat terakhir, mendahului 4-1 pada separuh masa namun pemain Slavia Petr Sevcik meledak dua gol pada awal separuh masa kedua, merapatkan jurang agregat kepada 5-3.

Ketika penyokong Stamford Bridge semakin resah dan Slavia mendapat semangat hasil sorakan penyokong mereka, Sevcik melepaskan peluang untuk terus merapatkan jurang.

Namun Chelsea yang menang 1-0 pada aksi pertama, bertahan untuk aksi separuh akhir menentang Eintracht, yang menewaskan Benfica 2-0 untuk mara dengan kelebihan gol di tempat lawan apabila terikat dengan agregat 4-4.

Kejayaan Chelsea di Liga Europa, trofi yang mereka menangi pada 2013 akan membawa mereka ke Liga Juara-Juara jika menamatkan saingan di luar kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris musim ini.

Ketika ini mereka berada di tangga kelima liga.

Pengendali Chelsea Maurizio Sarri berkata beliau perlu menyelesaikan masalah yang kerap dialami pasukannya yang sering hilang arah pada separuh masa kedua.

“Seperti biasa dalam tempoh dua bulan terakhir, kami bermula dengan teruk pada separuh masa kedua,” kata Sarri.

“Ia satu masalah yang besar. Kami perlukan penyelesaian, kami perlu selesaikan masalah ini.”

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 8:15am
d