arena

Oltmans panggil semula Sukri

Oleh Saiful Affendy Sapran

EMPAT pemain termasuk kapten, Sukri Mutalib kembali memperkuatkan skuad hoki lelaki negara apabila tersenarai untuk beraksi pada kempen Pusingan Akhir Siri FIH bermula 26 April ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Selain Sukri, tiga lagi pemain yang dipilih semula adalah Syed Syafiq Syed Cholan, Shahril Saabah dan penjaga gol Hafizuddin Othman.

Sukri, Syed serta Shahril sebelum ini tidak terpilih untuk beraksi pada Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh bulan lalu kerana mengalami kecederaan.

Pengendali skuad negara, Roelant Oltmans turut memberi kepercayaan sekali lagi kepada penyerang muda negara, Azrai Aizad Abu Kamal yang membuat penampilan sulung pada Piala Sultan Azlan Shah.

“Saya melakukan beberapa perubahan berbanding skuad Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini dengan menyenaraikan semula pemain berpengalaman iaitu Sukri, Syed, Shahril dan juga Hafizuddin.

“Pada masa sama saya mengekalkan 14 pemain yang beraksi dengan baik di Ipoh,” katanya.

Pengendali dari Belanda itu percaya semua 18 pemain yang terpilih pada saingan kali ini mampu menggalas tugas dengan baik.

“Saya memilih pemain yang mempunyai keupayaan terbaik merealisasikan apa yang perlu kami lakukan iaitu melangkah ke kempen kelayakan terakhir Sukan Olimpik hujung tahun ini.”

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 8:12pm
d