arena

Jualan amal barangan atlet negara

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

BOLA yang digunakan pada final Piala AFF 2018 antara barangan premium akan dilelong dalam program jualan amal barangan ‘pre-loved’ atlet negara pada 4 Mei ini di Uptown Sports Bangi.

Selain bola digunakan Harimau Malaya menentang Vietnam itu, pelbagai barangan dan peralatan sukan milik atlet dan bekas atlet turut ditawarkan kepada pengunjung dalam program julung kali diadakan itu bermula jam 2.30 petang hingga 6 petang.

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, program itu bertujuan mengumpul dana bagi Tabung X-Atlet diwujudkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk bekas atlet terutama bagi menampung perbelanjaan perubatan.

Katanya, hasil jualan barangan itu akan disumbangkan 100 peratus kepada tabung terbabit.

“Barangan pre-loved atlet negara ini akan dijual secara terus dan lelongan bagi barangan dikategorikan sebagai premium kerana nilainya.

“Ini kerana ada beberapa barangan dan peralatan pernah digunakan atlet di kejohanan berprestij seperti Sukan Olimpik, Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Bola itu pula disumbangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan ditandatangani oleh semua pemain kebangsaan,” katanya pada sidang media di Akademi Harta Intelek, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 9:07pm
d