arena

Ronaldo tetap setia bersama Juve

Oleh AFP

CRISTIANO Ronaldo tidak akan meninggalkan Juventus musim depan walaupun kecewa apabila kelab gergasi Itali itu gagal memburu trofi Liga Juara-Juara, menurut jurulatihnya, Massimiliano Allegri hari ini.

Anak buah Allegri yang dilanda kecederaan akan menanti kehadiran Fiorentina esok dengan hanya memerlukan satu mata untuk merangkul gelaran Serie A kelapan berturut-turut, beberapa hari selepas kalah mengejut 1-2 di laman sendiri kepada Ajax yang menyaksikan mereka tersingkir menerusi agregat 3-2.

“Cristiano adalah masa depan Juventus. Dia beraksi dengan amat baik tahun ini dan akan melakukan perkara sama musim depan, sudah pasti dia kecewa sama seperti kami tapi dia tenang menghadapinya,” kata Allegri.

“Cristiano melalui musim yang menakjubkan dan akan bermain esok.”

Pemenang Ballon d’Or lima kali itu berhasrat meraih gelaran Liga Juara-Juara buat kali keenam bagi menambah empat gelaran bersama Real Madrid dan satu bersama Manchester United.

Dia menjaringkan enam daripada 14 gol Liga Juara-Juara pasukannya musim ini dan 19 dalam Serie A, empat di belakang penjaring terbanyak Fabio Quagliarella.

“Kedatangan Ronaldo tidak memberikan kami jaminan akan menang Liga Juara-Juara,” kata Allegri.

“Barcelona mara ke separuh akhir tahun ini buat kali pertama selepas empat tahun dan mereka memiliki (Lionel) Messi. Bola sepak bukanlah mengenai individu. Kami perlu melupakan kekecewaan itu.”

Disiarkan pada: April 19, 2019 @ 10:44pm
d