arena

PBSNT tak jadi daftar Tuck

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

PERSATUAN Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) terpaksa menghentikan usaha mendaftar Lee Tuck sebagai pemain tempatan disebabkan kegagalan pemain import itu mendapatkan dokumen pengesahan keturunannya.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, tidak timbul PBSNT bersikap acuh tidak acuh dan cuba melengahkan masa mendaftar Tuck sebagai pemain tempatan.

Hishamuddin berkata, Tuck sendiri sudah memaklumkan kepadanya dia tidak dapat menyediakan dokumen itu menyebabkan PBSNT tidak dapat mendaftarkan pemain itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Saya secara peribadi terkilan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menyifatkan PBSNT bersikap acuh tidak acuh sedangkan kami sudah berusaha dan menjalankan tugas.

“Malah tidak benar tuduhan yang menyatakan PBSNT sengaja melengah-lengahkan masa kerana tidak mahu mengambil pemain import baharu. Sedangkan kami mahu menjadikan Tuck sebagai pemain tempatan dan seterusnya boleh mengambil pemain import baharu,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian muktamar tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingan yang mendedahkan kemungkinan hasrat Tuck untuk menyarung jersi Harimau Malaya berkubur gara-gara sikap acuh tak acuh pasukannya Terengganu FC dalam mendaftarkan namanya sebagai rakyat Malaysia di JPN.

Malah FAM memberi tempoh hingga hujung bulan ini buat pemain itu mengemukakan dokumen sah yang dapat membuktikan dia mempunyai pertalian darah dengan negara ini.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 12:32am
d