arena

Guardiola mahu cuba lagi

Oleh AFP

PEP Guardiola akan kembali meletakkan sasaran empat kejuaraan musim depan bersama Manchester City meskipun kecewa tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan Tottenham.

Pengendali Spurs Mauricio Pochettino dan rakan sejawatannya di Liverpool Jurgen Klopp, pencabar utama Guardiola untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris, masing-masing mara ke separuh akhir kejohanan elit kelab Eropah itu.

Namun, tidak seperti Guardiola kedua-dua mereka kurang memberi penekanan terhadap kejohanan domestik apabila hanya menurunkan skuad bawahan pada pusingan awal Piala Liga dan Piala FA.

Sebaliknya, Guardiola sentiasa menurunkan barisan terkuat atau hampir terkuat, menyebabkannya terdedah kepada dakwaan keletihan pemain pada peringkat akhir musim ini.

Bagaimanapun pengurus City itu yang menjulang Piala Liga menewaskan Chelsea dan berdepan final Piala FA menentang Watford bulan depan, yakin beliau tidak pernah berniat untuk membawa pasukannya tersingkir daripada mana-mana kejohanan.

“Saya tidak faham dalam profesion saya, ada yang mengatakan saya tidak mahu menang, saya tidak memahaminya,” kata Guardiola.

“Jika saya kalah, ini kerana lawan menewaskan saya atau menewaskan kami. Saya tidak mahu gagal dalam mana-mana kejohanan kerana mungkin pada masa depan ia akan jauh lebih baik.”

Bekas pengendali Barcelona dan Bayern itu yang anehnya akan kembali menentang Tottenham dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam ini berkata: “Siapa tahu apa akan berlaku pada masa depan? Perlawanan ini adalah sekarang dan saya akan cuba.

“Saya akan berazam musim depan untuk berjuang merebut empat gelaran, itu impian saya.”

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 8:04am
d