arena

Silap kecil bawa padah

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI FELDA United, Mohd Nidzam Jamil jelas kecewa apabila kesilapan kecil yang dilakukan pemainnya menjadi antara punca skuadnya gagal menyaingi Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Selain itu beliau mengakui ketiadaan kaptennya, Hadin Azman yang mengalami kecederaan lutut menjejaskan rentak pasukannya untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan itu.

"Saya rasa ada jurang besar antara kita dengan pasukan lawan, TFC adalah pasukan besar dan pasukan besar jarang melakukan kesilapan kecil berbanding dengan kita yang melakukan kesilapan kecil.

"Jika kita mahu menjadi pencabar dalam liga, kita perlu betulkan kesilapan kecil kerana ini adalah prosesnya, tapi saya percaya perkara ini akan dapat diperbetulkan pemain dalam perlawanan akan datang," katanya.

Pada perlawanan berkesudahan The Fighters tewas 1-2 itu, ketumpulan penyudah menyebabkan skuad berkenaan gagal meneruskan rentak kemenangan sebagaimana ketika menumpaskan Selangor 2-1 pada aksi pusingan ketiga Piala FA.

Mengulas lanjut, dengan nada tenang, jurulatih muda itu tetap berbangga dengan corak diperagakan anak buahnya walaupun terpaksa pulang dengan tangan kosong.

"Kita perlu puas hati dengan keputusan malam ini (malam tadi), kesilapan kecil seperti dalam prinsip bertahan dan menyerang perlu diperkukuhkan lagi, saya lihat pasukan TFC selesa dalam aspek ini.

"Ketiadaan Hadin yang terpaksa berehat satu hingga dua minggu sedikit sebanyak menjejaskan rentak pasukan biarpun bola sepak aksi berpasukan, tapi dia adalah pemain penting untuk kita.

"Justeru, bertemu Kuala Lumpur dalam aksi suku akhir saingan Piala FA, saya harap Hadin kembali sembuh kerana peluang untuk layak ke separuh akhir adalah seimbang.

"Kita juga tidak boleh harapkan setiap minggu benda ajaib terjadi, sebaliknya kita perlu realistik dan bekerja lebih keras lagi kerana pemain ada kualiti," katanya yang tetap hormat skuad Warga Kota kerana semua pasukan mempunyai kekuatan masing-masing.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 12:23pm
d