arena

Selangor, KL lakar kemenangan

Oleh Firdaus Hashim dan Syazwan Msar

SELANGOR dan Kuala Lumpur mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Super malam ini.

Selangor membuktikan mereka mampu bangkit daripada kekecewaan dengan melakar kemenangan 2-1 ke atas PKNP FC di Stadium Shah Alam.

Sementara, gol sendiri pemain pertahanan pasukan pelawat memberi kelegaan kepada Kuala Lumpur untuk memperolehi tiga mata penting selepas menewaskan PJ City 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Selangor yang dibimbing, B Sathianathan memperolehi jaringan awal menerusi sepakan penalti Sandro Da Silva pada minit ke-13 yang juga gol ketiganya musim ini buat skuad Red Giants itu.

Tonggak pertahanan kanan, Syahmi Safari melebarkan kedudukan Selangor di minit ke-78 sebelum Fazrul Hazli menjaringkan gol saguhati pelawat enam minit kemudian untuk menamatkan aksi memihak tuan rumah.

Dalam aksi di Cheras pula, keadaan kucar-kacir di depan pintu gol PJ City jelas memerangkap mereka apabila sepakan Ashri Cucu yang terkena palang tertampan pula oleh Mohd Aizulridzwan untuk gol tunggal perlawanan.

Skuad City Boys kendalian Chong Yee Fatt dilihat lebih menguasai perlawanan berjaya mematahkan serangan PJ City sekali gus kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Skuad The City Boy yang menduduki tangga tercorot liga berkongsi tujuh mata dengan FELDA United yang mempunyai kelebihan satu gol.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 11:25pm
d