arena

Suele selamatkan maruah Bayern

Oleh AFP

JARINGAN lewat permainan oleh Niklas Suele menyaksikan Bayern Munich terus menghambat kejuaraan Bundesliga selepas meraih kemenangan 1-0 terhadap Werder Bremen yang beraksi 10 pemain, malam tadi.

Kemenangan menyaksikan gergasi Bavarian itu memiliki kelebihan empat mata di depan pencabar utama, Borussia Dortmund yang dijadual beraksi, malam esok.

“Lebih bagus jika kami menyempurnakan beberapa peluang yang kami perolehi, namun kami memang layak menang,” kata jurulatih Bayern, Niko Kovac.

Bremen berjaya mengekang Bayern pada perlawanan berkenaan sebelum berdepan tamparan kurang sejam perlawanan berlangsung apabila Milos Veljkovic diarah keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua.

Peluang terbaik diperoleh Bayern selepas itu namun gawang Bremen hanya dirobek 15 minit sebelum perlawanan berakhir menerusi Suele.

“Saya melakukan beberapa rembatan ketika menentang Dortmund jadi perasaan yang bagus untuk menjaringkan gol kemenangan hari ini,” kata Suele.

Sementara itu, dalam perlawanan lain, Stuttgart yang menghuni kedudukan tiga tercorot dibelasah 0-6 oleh satu lagi kelab bergelut, Augsburg.

Bayer Leverkusen dalam pada itu mengekalkan laluan untuk beraksi dalam saingan Eropah selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nuremberg.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 1:12am
d