arena

Chelsea, jangan 'tidur'!

Oleh AFP

N’GOLO Kante memberi amaran kepada Chelsea supaya bangkit daripada kelesuan pada separuh masa kedua tatkala Blues bertekad menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris dalam kelompok empat terbaik apabila menentang Burnley awal pagi Selasa.

Skuad kendalian Maurizio Sarri mara ke separuh akhir Liga Europa awal pagi Jumaat lalu hasil kemenangan 4-3 ke atas Slavia Prague.

Namun dalam apa yang dikatakan perlawanan mudah untuk mara ke suku akhir apabila tuan rumah mendahului 4-1 berakhir dengan tekanan apabila Chelsea membiarkan Slavia meledak dua gol awal pada separuh masa kedua.

Ini bukan kali pertama Chelsea hilang tumpuan selepas separuh masa pertama musim ini, apabila Liverpool meledak dua kali pada separuh masa kedua untuk menewaskan mereka 2-0 beberapa hari sebelum itu.

Everton juga melakukan perkara yang sama ketika Chelsea tewas bulan lalu dan Kante, pemain tengah itu mengakui pasukannya tidak boleh mengulangi kesilapan sama jika mahu mara ke Liga Juara-Juara dengan mengisi kelompok empat teratas.

“Perkara itu selalu berlaku musim ini dan ia sesuatu yang perlu kami tangani untuk memperbaikinya namun kami perlu berusaha ke arah itu,” kata Kante.

Malah Kante mengakui melengkapkan misi Liga Europa akan mengubah musim pertama Sarri yang tidak menentu menjadi satu kejayaan.

“Kami boleh menjadikan musim ini sempurna hanya dengan menjuarai Liga Europa.

“Ia satu-satunya gelaran yang kami boleh menangi sekarang jadi alangkah hebat jika dapat menjuarai Liga Europa.”

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 11:47am
d