arena

Mangsa jadual padat

Oleh Rizar Mohd Noor

PENGENDALI PKNS FC, Datuk K Rajagobal menegaskan jadual perlawanan yang padat membabitkan saingan Liga Super dan Piala FA menjejaskan corak permainan pasukan itu selepas tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Rajagobal berkata, jadual yang padat bukan sahaja menjejaskan pasukannya malah membabitkan pasukan lain yang terpaksa membuat persiapan dalam tempoh singkat untuk bersaing dalam kancah liga.

"Persoalannya adakah kekuatan yang mencukupi dalam pasukan. Jika kekuatan yang mencukupi maka tidak perlu risau tetapi jika tidak cukup kekuatan dalam pasukan, kena fikirlah bagaimana mahu kekalkan momentum.

"Setiap perlawanan yang diharungi pasti berdepan dengan pasukan yang kuat, Oleh itu persiapan yang mencukupi amat perlu dan saya anggap semua pasukan berdepan situasi yang sukar apabila berdepan jadual perlawanan yang padat," katanya.

Ditanya mengenai kekalahan kepada JDT selepas menang 1-0 pada aksi pusingan ketiga Piala FA, Selasa lalu, Rajagobal menepis tanggapan barisan pemainnya beraksi di bawah keupayaan sebenar sebaliknya berjaya mempamerkan corak permainan yang lebih baik berbanding aksi Piala FA.

Katanya, tiada kekurangan dalam pasukannya walaupun tewas dalam perlawanan itu malah beliau menambah jika mahu membuat kesimpulan barisan pemain yang diturunkan beraksi lebih menarik berbanding ketika menewaskan JDT pada aksi Piala FA.

"Kita dibolosi dua gol awal mengakibatkan momentum pemain saya hilang dan menjejaskan rentak permainan tatkala perlu mengejarkan JDT yang tampak selesa berada di depan malah berusaha untuk kembali mendapat keyakinan dalam perlawanan itu.

"Pada babak kedua, corak permainan kami berbeza apabila memberi tekanan kepada JDT dan berjaya merapatkan jurang gol dan hasil gol itu kami terus berusaha dan mungkin boleh jaringkan gol penyamaan.

"Namun gol ketiga JDT menjejaskan usaha kami untuk bangkit dan terpaksa menerima kekalahan dalam perlawanan itu. Bagaimanapun saya tetap berpuas hati dengan komitmen setiap pemain yang mempamerkan aksi terbaik ketika menentang JDT," katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 1:05pm
d