arena

Semangat juang skuad Tambadau

Oleh Ryan Stanley

PENGENDALI Sabah, Jelius Ating memuji kesungguhan dan kerja keras yang ditunjukkan pemainnya sehingga berjaya mengatasi UKM FC 3-1 dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Jurulatih berusia 48 tahun itu berkata, pemainnya sangat bekerja keras pada setiap sesi latihan dan mereka turut buktikannya pada perlawanan sebenar.

"Secara keseluruhan saya sangat gembira dengan prestasi pemain kita pada malam ini (semalam), walaupun ia bukan satu kemenangan yang mudah tetapi kita berjaya juga mengatasi lawan.

"UKM FC sebenarnya sebuah pasukan yang agak baik, mereka berjaya menyamakan kedudukan selepas kita menjaringkan gol pertama namun seperti saya katakan, kerja keras pemain di atas padang menjadi faktor kemenangan pasukan," katanya.

Jelius berkata, rentak kemenangan itu perlu diteruskan apabila memulakan aksi pusingan kedua Liga Perdana nanti bagi memastikan mereka terus berada di landasan betul untuk mencapai sasaran layak ke Liga Super tahun depan.

"Pada pusingan pertama kita berjaya mengumpul 18 mata dan ia satu pencapaian yang baik berbanding musim lalu dan apa yang kita perlu lakukan sekarang ialah terus berusaha untuk mengumpul seberapa banyak mata yang boleh.

"Bagi saya, pasukan ini mampu pergi lebih jauh lagi dan sebagai pengendali pasukan, sudah pasti saya mahu mencapai sasaran seperti yang diharapkan pemangku presiden SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah), Datuk Peter Anthony," katanya.

Pada aksi malam tadi, Sabah mendahului hasil jaringan Alto Linus minit ke-20 sebelum UKM FC menyamakan kedudukan menerusi rembatan kaki kiri Mohd Hafizi Amiruddin minit ke-42.

Skuad Tambadau kembali mendahului hasil jaringan jarak jauh Dendy Lowa pada minit ke-45 dan penyerang import mereka, Rodoljub Paunovic, melengkapkan kemenangan Sabah menerusi jaringan pada minit ke-59.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 5:36pm
d