arena

City Boys sandar tonggak tempatan

Oleh Syazwan Msar

PENGENDALI Kuala Lumpur, Chong Yee Fat mengakui barisan pemain import terutama penyerangnya, Gulherme De Paula masih belum cergas sepenuhnya sekali gus merencatkan perancangan pasukan walaupun berjaya menundukkan PJ City dalam saingan Liga Super malam tadi.

Yee Fat berkata, dia sekarang lebih bergantung kepada pemain tempatan yang menunjukkan permainan semakin mantap selain mampu mengalas cabaran tanpa sebarang masalah hingga mencipta beberapa kemenangan sebelum ini.

Katanya, beliau tidak mempunyai banyak pilihan dalam menurunkan barisan pemain import hingga terpaksa menggunakan khidmat Paula yang sekarang ini masih lagi belum mencapai tahap kecergasan yang optimum.

“Kecergasan De Paula masih lagi tidak capai tahap yang kita inginkan namun saya gembira dengan sumbangannya pada perlawanan ini.

“Kita memang tidak boleh menurunkan kesemua pemain import yang ada dan kemungkinan untuk menggantikan mereka pada jendela perpindahan nanti belum lagi dibincangkan,” katanya.

Sementara itu. ketua jurulatih PJ City K Devan nyata tidak gembira dengan prestasi pemainnya selepas mereka gagal memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol sekali gus terpaksa akur tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur.

“Kita ada banyak peluang untuk jaringkan gol dan jika pemain berjaya melakukannya mungkin separuh masa pertama sudah mendahului dengan tiga jaringan.

“Saya akan melihat situasi berkenaan dan memperbaiki kelemahan yang ada bagi mencipta kemenangan pada perlawanan akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 5:58pm
d