arena

Syazwani, Siew Giok ungguli boling remaja Asia

Oleh BERNAMA

PEMAIN remaja perempuan Malaysia menamatkan kemarau pingat emas selama tujuh tahun pada hari kedua Kejohanan Boling Tenpin Remaja Asia ke-20 (AYTBC) menerusi Nur Syazwani Sahar, dan Gillian Lim Siew Giok, dalam acara berpasangan hari ini.

Nur Syazwani dan Gillian Lim melakukan sejumlah 2,513 jatuhan pin, diikuti peserta Singapura, Charmaine Chang dan Amabel Chua yang meraih pingat perak dengan 2,354 jatuhan pin manakala gangsa milik Kim Hyenonji dan Oh Ahhyeon dari Korea Selatan yang melakukan 2,231 jatuhan pin.

Sementara itu, Brandon Ong dan Jomond Chia dari Singapura memenangi pingat emas bagi acara berpasangan lelaki dengan sejumlah 2,740 jatuhan pin.

Dua lagi gandingan remaja lelaki Malaysia mempamerkan prestasi memberangsangkan dan memenangi tempat kedua serta ketiga, masing-masing menerusi Nevern Netaneel Marcellinus dan Muhammad Hafiz Zainuddin dengan catatan 2,526 jatuhan pin serta membawa pulang pingat perak, manakala rakan senegara, Shahrukh Amin Zulkifli dan Muhammad Syazirol Samsuddin pula meraih gangsa dengan 2,458 jatuhan pin.

Nurul Alyssa Junaidi dan saudara kembarnya, Nurul Ayunni Junaidi menamatkan saingan hari ini di tempat kelima, dengan melakukan sejumlah 2,296 jatuhan pin, 26 mata di belakang peserta dari Macau, Chan Hei Io dan So Cheng Lam.

Kali terakhir pasukan remaja perempuan Malaysia memenangi emas dalam acara berpasangan adalah pada edisi ke-17 AYTBC di Hong Kong pada 2013 menerusi Faten Najihah dan Victoria Chin dengan sejumlah 2,644 jatuhan pin.

Edisi ke-20 AYTBC disertai 72 pemain boling muda dari 10 negara iaitu Australia, Korea Selatan, Macau, Filipina, Bahrain, Singapura, Thailand, Taiwan, Hong Kong, dan Malaysia.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 11:44pm
d