arena

Liverpool kembali mendahului, Arsenal tumbang

Oleh AFP

LIVERPOOL terus memberi tekanan kepada Manchester City selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas pasukan yang berdepan penyingkiran Cardiff, di Stadium Cardiff, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Liverpool kembali berada di kedudukan teratas carta Liga Perdana Inggeris.

Georginio Wijnaldum membuka jaringan selepas hampir satu jam perlawanan berlangsung diikuti sepakan penalti yang disempurnakan James Milner di hujung permainan memastikan kemenangan kesembilan berturut-turut dalam semua kejohanan buat barisan kendalian Jurgen Klopp.

Liverpool mendahului dua mata di hadapan City yang mempunyai kelebihan kurang satu perlawanan.

Sementara itu, dalam aksi di Stadium Emirates pula, Arsenal menerima tamparan hebat untuk menamatkan kempen Liga Perdana di kedudukan empat teratas selepas tewas, 2-3 kepada Crystal Palace.

The Gunners, yang memburu peluang beraksi di Liga Juara-Juara musim depan ketinggalan menerusi jaringan pembukaan Christian Benteke sebelum Mesut Ozil menyamakan kedudukan di awal aksi separuh masa kedua bersambung.

Wilfried Zaha meletakkan Palace kembali di depan menerusi jaringan diikuti jaringan ketiga oleh James McArthur.

Walaupun Pierre-Emerick Aubameyang cuba merapatkan kedudukan menerusi jaringannya namun ia agak terlambat untuk menghalang Palace mencatat kemenangan pertama dalam saingan liga di Arsenal sejak Oktober 1994.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 1:35am
d