arena

Langkah drastik

Oleh Syazwan Msar

CAMPUR tangan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) terhadap hal ehwal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) memaksa pengurusannya mungkin mengambil langkah drastik dengan membawa perkara berkenaan ke pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa yang mahu membawa perkara berkenaan ke badan induk bola sepak dunia itu selepas melihat terdapat campur tangan pihak luar dalam urusan bola sepak negeri itu.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada PJS hari ini untuk meminta penangguhan kongres KLFA pada Ogos depan bagi memberi peluang persatuan itu menyelesaikan beberapa isu dalaman yang kemungkinan mengambil tempoh lama.

“Jadi kita kalau boleh nak minta tangguh hingga bulan lapan atau sembilan untuk mengadakan kongres kerana yang mengganggu pelaksanaan terbabit adalah mereka (PJS) dan bukannya KLFA.

“Surat berkenaan juga meminta supaya jangan ada campur tangan daripada pihak mereka (PJS) dan pada masa sama akan dihantar kepada FIFA yang memaklumkan terdapat pihak luar cuba mengganggu persatuan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Kuala Lumpur menentang Petaling Jaya City FC (PJ City), kelmarin.

Sebelum ini, KLFA mungkin dibatalkan pendaftarannya andai ingkar dengan arahan PJS untuk mengadakan semula proses pencalonan untuk semua jawatan yang dipertandingkan bagi kongres ke-31 persatuan itu.

PJS dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi surat bertarikh 22 Februari lalu mengarahkan kongres yang tertangguh selama beberapa bulan itu perlu dilaksanakan sebelum atau pada 31 Mei depan.

Keputusan itu dicapai selepas PJS dan FAM melakukan beberapa perbincangan dan pertemuan bersama dengan meneliti segala hujah berserta fakta bagi menyelesaikan kemelut dalaman kongres ke-31 KLFA.

Sementara itu, Nokman berkata, walaupun mengetahui aduan yang dilakukan kepada FIFA mungkin akan mengeruhkan keadaan, namun pihaknya perlu berbuat demikian bagi mengelak terdapat campur tangan pihak luar hingga mengganggu urusan persatuan terbabit.

“Saya mahu lihat dulu maklum balas PJS berkaitan surat yang dihantar esok (hari ini) dan jika enggan memberikan kerjasama, kita tidak teragak-agak bawa ke FIFA,” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 7:00am
d