arena

Rosman harap persembahan terbaik

Oleh Ferzalfie Fauzi

KETUA jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berharap anak buahnya mampu beraksi dengan lebih baik pada Kejohanan Badminton Asia bermula esok di Wuhan, China walaupun menyedari laluan tidak memihak kepada mereka.

Menurutnya, mereka tidak boleh lari daripada mendapat undian sukar kerana semua berdasarkan kepada ranking dan hanya mengharapkan persembahan terbaik daripada Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan Anna Cheong-Lim Chiew Sien.

“Bermula pusingan pertama atau kedua mereka memang akan berdepan pasangan lawan yang lebih hebat, memang kami tidak boleh lari daripada berdepan situasi ini. Apa yang saya harapkan daripada mereka adalah mampu beraksi dengan lebih baik, barulah boleh bercakap mengenai keputusan perlawanan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

“Bagi saya setiap kejohanan amat penting, malahan pula bila bermulanya kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 minggu depan. Bagaimanapun, buat masa ini mereka akan menumpukan kepada Kejohanan Asia terlebih dulu,” kata Rosman.

Ditanya mengenai peluang Anna-Chiew Sien, beliau mengakui pasangan muda itu harus menggunakan Kejohanan Asia sebagai tempat untuk menimba pengalaman.

“Banyak pasangan lebih berpengalaman menyertai kejohanan ini, jadi saya memberi peluang buat mereka untuk memantapkan persefahaman di sana.

“Setakat ini apa yang saya lihat dalam latihan, perkembangan mereka amat baik walaupun ranking mereka kini di tangga ke-168 dunia.”

Vivian-Cheng Wen yang kini menduduki ranking ke-21 dunia mara automatik ke pusingan kedua selepas beregu Jepun, Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto menarik diri.

Anna-Chiew Sien pula akan menentang Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto dari Indonesia pada pusingan pertama.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 8:15pm
d