arena

Zidane bingung Bale diejek

Oleh Reuters

JURULATIH Real Madrid, Zinedine Zidane bingung dengan sikap penyokong pasukannya terhadap Gareth Bale selepas mereka mengejek dan mencemuh penyerang Wales itu ketika menang 3-0 ke atas Athletic Bilbao pada aksi La Liga, Sabtu lalu.

Apabila ditanya kenapa pemain yang memenangi empat Liga Juara-Juara dalam tempoh lima musim di Madrid – termasuk menjaringkan gol penentu dalam dua daripada final itu – dilayan buruk oleh penyokong, Zidane berkata: “Saya tidak tahu. Secara jujur, saya tidak memahaminya.”

Bale tampil sebagai pemain gantian selepas diketepikan daripada kesebelasan utama bagi aksi kedua berturut-turut oleh Zidane dan mencetus kemarahan penyokong setia Bernabeu apabila terlepas peluang satu lawan satu.

Reaksi itu bertentangan dengan mereka yang menyambut kehadiran Isco, yang hadir ke padang serentak dengan Bale sekali gus menerima tepukan gemuruh penonton.

Bale melepaskan peluang menjaringkan gol apabila mengumpan kepada Karim Benzema yang menyempurnakan hatrik namun ia tidak menyelamatkannya daripada kritikan media tempatan hari ini.

“Hasrat menjualnya, tapi tiada tawaran mendatang,” menurut muka depan akhbar Marca, diiringi dengan gambar pemain berusia 29 tahun itu kelihatan sugul.

“Mereka kini terbuka dengan idea untuk meminjamkannya ke kelab lain,” menurut akhbar itu.

Akhbar sama baru-baru ini melaporkan penyerang Chelsea dari Belgium, Eddn Hazard akan dibeli untuk mengisi tempat Bale dalam skuad itu.

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 11:02pm
d