arena

Casagrande puas tamat kemarau jaringan

Oleh Nazri Abu Bakar

IMPORT kelahiran Brazil, Anselmo Casagrande gembira dan puas selepas tandukannya membantu Melaka United (MU) menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Hang Jebat, Ahad lalu.

Dia yang melompat tinggi menyambut hantaran sepakan sudut Safiq Rahim pada minit ke-49 menghadiahkan jaringan kedua peribadinya bersama skuad Hang Tuah musim ini.

Sering dikritik hebat selepas ketandusan jaringan, namun membuktikan dia masih mampu bertindak cemerlang sekali gus menutup mulut pengkritik.

"Saya gembira dengan jaringan ini dan dalam masa menyuntik motivasi untuk terus menyumbang jaringan buat pasukan.

“Malah saya berazam menggegar gawang FELDA United, 26 April ini di gelanggang lawan," katanya.

Dia berkata, kerjasama positif semua rakan pasukan, jurulatih, pengurusan dan penyokong memberi impak terhadap komitmennya untuk bertindak lebih cemerlang.

Sementara itu, Shafiq berkata, gol Casagrande mampu menjadi tonik berharga buat penyerang itu kembali menemui semula sentuhan sebagai peledak berbisa yang pernah dinikmati di liga Malaysia.

Bekas kapten kebangsaan terbabit yang tidak pernah jemu melakukan hantaran tinggi ke kepala Casagrande juga puas sepakan sudutnya disambut dengan sempurna tanpa mampu dicabar pertahanan Kedah.

Katanya, dia melihat wujud tekanan hebat dihadapi Casagrande akibat ketandusan jaringan sepanjang saingan liga setakat ini, namun yakin gol kali ini bakal menjadi  suntikan moral buatnya untuk terus menyerlah.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 1:58pm
d