arena

Harrif bangga kalahkan Guardini

Oleh Azlan Muhammad Zain

PRESTASI membanggakan pada Le Tour de Langkawi (LTdL) beru-baru ini membakar semangat pakar pecut Terengganu Inc TSG, Harrif Saleh untuk melakar lebih banyak kejayaan tahun ini.

Harrif muncul pelumba kedua tempatan selepas Anuar Manan menjuarai peringkat perlumbaan LTdL selepas unggul dalam saingan dari Senawang ke Dataran Pahlawan, Melaka.

“Ia memang satu kejayaan besar dan membanggakan dalam karier saya. Secara tidak langsung saya berjaya memahat nama dalam perlumbaan berstatus hors ini kerana tidak ramai pelumba Asia berjaya melakukannya sejak edisi pertama pada 1996.

“Malah secara peribadi saya bangga akhirnya mampu menewaskan pakar pecut dari Itali, Andrea Guardini kali ini selepas mencuba sejak edisi 2011 lagi,” jelasnya.

Pada saingan peringkat kedua yang berakhir di Dataran Pahlawan itu, Harrif mengatasi henjutan Guardini yang mahu melebarkan 24 kemenangan peringkat perlumbaan.

“Saya lihat pencapaian di LTdL satu permulaan positif dan mahu meneruskan rentak dalam memburu lebih banyak kejayaan tahun ini.

“Pencapaian itu sudah terpahat dalam sejarah LTdL dan saya akan berusaha untuk meraih sesuatu yang lebih tinggi selepas ini,” katanya.

Selepas LTdL, dia akan meneruskan saingan bersama TSG dalam kalendar Jelajah Asia di Sri Lanka bulan depan.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 9:15pm
d