arena

Skuad paralimpik cemerlang di Tashkent

Oleh Azlan Muhammad Zain

SKUAD berbasikal para negara cemerlang apabila meraih dua emas, dua perak dan dua gangsa pada hari pembukaan Kejohanan Lebuhraya Asia di Tashkent, Uzbekistan hari ini.

Bagaimanapun insiden yang menimpa atlet negara, Najib Turano mencuri tumpuan apabila terlepas peluang meraikan kejayaannya meraih pingat perak gara-gara isu teknikal dihadapi penganjur.

Najib yang bersaing dalam acara ujian masa individu kategori C4 pada awalnya dimaklumkan meraih gangsa dan upacara penyampaian hadiah hanya untuk pemenang emas.

“Jadi saya pulang ke hotel penginapan dari lokasi perlumbaan dan kemudiannya dimaklumkan meraih perak susulan terdapat negara yang membuat bantahan. Pingat perak saya diserahkan kepada wakil negara yang masih di lokasi perlumbaan dengan penyampaian pingat turut berlangsung membabitkan tiga pemenang utama.

“Kecewa kerana ini kejohanan pertama saya selepas pulih daripada kecederaan. Mereka mungkin sedikit keliru kerana melangsungkan kategori C1 hingga C5 (kecacatan fizikal) serentak,” katanya.

Bagaimanapun skuad paralimpik negara tetap cemerlang apabila Yusof Hafizi Shaharuddin mencatat masa 28 minit 6 saat bagi meraih emas kategori C1 dengan Nur Faizah Aziz turut meraih emas kategori C3.

Manakala Adi Raimie Amizazahan pula merangkul gangsa kategori C3.

Saingan ujian masa bagi tandem wanita menyaksikan Nur Suraya Muhammad Zamri bersama jurupandu Nurul Suhada Zainal meraih perak dengan gangsa diraih satu lagi pasangan negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama Nuraidillina Adilla J Sam.

Saingan kategori elit pula menyaksikan skuad ujian masa berpasukan lelaki yang diketuai Fauzan Ahmad Lutfi meraih tangga keenam.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 12:06am
d