arena

Fawwaz harumkan nama SMAP

Oleh Nor Hairulnizam Wahid

PELAJAR Tingkatan Empat Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Abdul Rahman Fawwaz Adnan tidak menghampakan tuan rumah apabila mengungguli final acara recurve individu Kejohanan Memanah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Jemputan hari ini.

Fawwaz menewaskan pemanah Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Muhammad Nadzirul Hadi Norosid 6-4 pada penentuan pingat emas. Pingat gangsa milik Amier Mustaqim Azman dari Sekolah Datuk Abdul Razak.

Bagi Fawwaz biarpun kejayaan itu sesuatu yang membanggakannya dan mengakui pentingnya sokongan rakan sepasukan, dia menyifatkan ia satu tanggungjawab yang perlu dipikulnya demi menaikkan nama sekolah.

“Bukan mudah untuk menjuarai sesuatu pertandingan. SMAP dahulunya antara sekolah yang digeruni (dalam acara memanah) tapi selepas beberapa tahun ranking kami jatuh dan sebagai wakil SMAP Kajang, saya menggalas tanggungjawab besar untuk menaikkan nama sekolah dalam kalangan sekolah yang bertanding,” katanya.

“Debaran itu amat luar biasa kerana sebelum ini kurang latihan dan tahun ini kami banyak menjalani latihan. Saya amat bersyukur dengan kejayaan ini.”

Kategori recurve wanita SBP diungguli pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Puteri Alissa Shahira Ahmad Badli Shah yang menewaskan Ain Syazwani Muhammad Sa’id dari Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar 6-2. Tempat ketiga milik Mia Qistina Zulkifli dari Sekolah Seri Puteri.

Bagi Nurul Azreena Mohd Fazli yang memenangi kategori wanita jemputan, pengalaman menyertai pelbagai kejohanan sebelum ini banyak mematangkannya.

Azreena yang mewakili Team Sasar menewaskan Alia Qursyiah Mazlan dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang 6-2, menyertai sukan memanah sejak berusia 11 tahun dan mewakili Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu.

“Pengalaman hanya boleh diperoleh dengan menyertai kejohanan dan meneroka sesuatu daripadanya. Ini kerana suasana dalam latihan dan kejohanan berbeza. Tekanan dan rasa gugup berbeza antara kedua-duanya,” kata pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Perempuan Sri Aman itu.

Kategori lelaki jemputan pula menyaksikan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasek Kesuma, Hariez Izkandar Zainal Habsahli menewaskan pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Muhammad Irsyad Danial Mohd Irwan 7-3.

Kejohanan empat hari bermula Isnin lalu mempertaruhkan aksi 48 pasukan sekolah berasrama penuh, 44 pasukan jemputan serta dua pasukan luar negara iaitu dari Indonesia dan India.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 9:19pm
d