arena

Perlu atasi India: Choong Hann

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELEPAS mengumumkan secara rasmi skuad ke Piala Sudirman, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menyeru anak buahnya supaya menumpaskan India pada aksi peringkat kumpulan.

Menurutnya, walaupun menyenaraikan skuad campuran dan tidak dapat menurunkan Datuk Lee Chong Wei, sasaran awal skuad itu adalah menewaskan negara Asia Selatan itu yang diundi bersama dalam Kumpulan 1D.

“Harapan saya pemain yang dipilih mampu mencapai tahap terbaik mereka di sana. Saya juga berharap mereka menumpaskan India. Ia satu cabaran buat pemain,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan BAM semalam.

Ujar Choong Hann, di atas kertas tidak kira sama ada Malaysia menggunakan khidmat pemain profesional atau tidak, skuad negara mampunyai kelebihan dari segi beregu.

“Kekuatan kami adalah di bahagian beregu berbanding India yang mengharapkan pemain perseorangan seperti K Srikanth, Saina Nehwal dan PV Sindhu. Kami tidak mempunyai kekuatan yang padu di bahagian berkenaan.

“Jadi kami harus menggunakan kelebihan di bahagian beregu (lelaki, wanita dan campuran),” katanya.

Ditanya adakah skuad Piala Sudirman kali ini bayangan awal bagi Piala Thomas tahun depan, beliau mengakui mereka akan meneruskan apa saja kesinambungan berdasarkan perancangan yang sudah ditetapkan.

Selain India, Malaysia diundi bersama China dalam Kumpulan 1D dengan hanya dua pasukan teratas layak ke suku akhir.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 10:04pm
d