arena

Azeem dalam radar

Oleh Aida Adilah Mat

KUALA LUMPUR: Kejayaan menakjubkan atlet olahraga remaja negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi sehingga digelar ‘Usain Bolt’ Malaysia mendapat perhatian Institut Sukan Negara (ISN).

ISN akan menggunakan kepakaran yang ada bagi membantu anak muda berusia 15 tahun melakar lebih banyak kejayaan gemilang selepas ini.

Itu janji yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Faedzal Md Ramli, malah menurut beliau, bakat yang dimiliki Azeem itu sangat luar biasa justeru ia akan digilap secara saintifik berdasarkan kepakaran yang dimiliki ISN.

“ISN akan monitor secara saintifik perkembangan Azeem dari semasa ke semasa dan perancangan akan dibuat berdasarkan data lengkap merangkumi segala aspek sains sukan seperti biomekanik dan ujian sains yang lain.

“Ini kerana masa yang dilakukan Azeem sangat jarang dimiliki pada remaja seusia beliau,” katanya. Azeem sebelum ini menjadi perbualan hangat apabila video rakamannya berlari di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) berlangsung di Johor tular di media sosial sejak kelmarin.

Atlet dari Perak itu jelas berada di kelas tersendiri apabila jauh meninggalkan tujuh pencabar yang lain bagi kategori lelaki 15 tahun dengan masa 10.63 saat(s), sekali gus memperbaharui rekod baru kejohanan yang turut dipegangnya pada edisi lalu dengan 10.83s.

Azeem turut mencuri tumpuan apabila meraih emas 100 meter pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara bulan lalu dengan melakar rekod temasya menerusi catatan 10.69s.

Faedzal berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan jurulatih Azeem untuk melihat perkembangan Azeem sebelum merangka strategi program yang bersesuaian.

Katanya, bagi merealisasikan perkara itu, kerjasama antara Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan MSN Perak perlu dilakukan bagi merangka program yang bersesuaian untuknya kerana potensi dan bakat pertama ini perlu dijaga.

“Masa yang dilakukan Azeem 10.63s itu jarang berlaku dan masa itu menyamai catatan pelari senior di peringkat ASEAN.

“Tapi perjalanannya masih jauh dan banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan dia terus konsisten kerana banyak kejohanan lagi yang perlu dia lalui,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 6:38am
d