arena

Bayern jumpa Leipzig di final Piala Jerman

Oleh Reuters

PENDAHULU Bundesliga, Bayern Munich mara ke final Piala Jerman dua tahun berturut-turut selepas menewaskan Werder Bremen 3-2 di Weserstadion awal pagi tadi sekali gus mencerahkan impian merangkul kejuaraan berganda.

Bayern yang menewaskan Werder dalam aksi liga minggu lalu bakal berdepan RB Leipzig pada aksi final 25 Mei depan. Bayern tewas di tangan Eintracht Frankfurt pada final tahun lalu.

Werder bangkit menjaringkan dua gol dalam masa dua minit bagi mengikat kedudukan 2-2 sebelum Robert Lewandowski muncul wira apabila menyempurnakan penalti minit ke-80 untuk Bayern memburu trofi ke-19 Piala Jerman.

"Kami tahu ia sukar, kami berjaya mendapat penalti tetapi kami juga mempunyai peluang. Kami berhak mara ke final,” kata jurulatih Bayern, Niko Kovac yang boleh muncul pengendali pertama memenangi Piala Jerman dua tahun berturut-turut dengan pasukan berbeza.

"Kami ‘tidur’ dalam masa dua minit dan tiba-tiba Bremen menyamakan kedudukan,” kata Kovac yang menjuarai piala itu tahun lalu bersama Frankfurt.

"Penalti itu mungkin tuah tetapi keseluruhannya kami memang berhak menang.”

Bayern membuka tirai jaringan apabila penjaring terbanyak Bundesliga --Lewandowski mudah menolak bola masuk selepas tandukan Thomas Mueller terkena tiang pada minit ke-36.

Tuan rumah turut memiliki beberapa peluang tetapi Bayern yang dapat melebarkan kedudukan menerusi Mueller minit ke-63.

Werder bangkit dengan dua gol menerusi Yuya Osako (min-74) dan Milot Rashica (min-75).

Bagaimanapun Lewandowski membuat penyokong tuan rumah terkedu apabila menyempurnakan penalti selepas Kingsley Coman dikasari Theodor Gebre Selassie.

Bintang Poland itu hampir menjaringkan hatrik apabila rembatannya terkena tiang pada masa kecederaan.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 8:40am
d