arena

Lazio mara ke final Piala Itali

Oleh Reuters

LAZIO mara ke final Piala Itali dan menamatkan harapan AC Milan untuk mengakhiri kemarau lapan tahun tanpa trofi selepas menang 1-0 menerusi jaringan Joaquin Correa di San Siro pada aksi separuh akhir kedua, awal pagi tadi.

Pemain Argentina itu meledak gol tunggal dalam aksi sengit 180 minit bagi membolehkan Lazio mara ke final kali ketiga dalam masa lima tahun sekali gus menambah tekanan ke atas jurulatih Milan, Gennaro Gattuso.

Kali terakhir Milan bergelar juara pada 2011 apabila menjuarai Serie A tetapi kali ini tekanan lebih memuncak untuk menamatkan kedudukan dalam kelompok empat teratas dan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

"Kami pernah menewaskan Milan dan Inter di stadium ini dan adalah adil untuk kami mara ke final,” kata jurulatih Lazio, Filippo Inzaghi yang skuadnya menewaskan Inter menerusi penentuan penalti dalam aksi suku akhir dan bakal berdepan sama ada Atalanta atau Fiorentina.

Pemain tengah Lazio Sergej Milinkovic-Savic , yang dibuang padang pada babak pertama ketika tewas 2-1 kepada kelab bergelut Chievo Sabtu lalu, kali ini terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan buku lali pada minit ke-15 tetapi tidak menjejaskan rentak pasukan.

Penjaga gol Lazio, Thomas Strakosha menyelamatkan percubaan Davide Calabria di pertengahan babak pertama, salah satu daripada dua percubaan tepat Milan berbanding 10 dihasilkan Lazio.

Lazio tampil lebih mantap selepas rehat dan akhirnya memecah kebuntuan apabila hantaran Ciro Immobile menemui Correa yang menolak bola mudah di celah kaki Pepe Reina pada minit ke-58.

Milan turut menyaksikan jaringan pemainnya Patrick Cutrone dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

“Reina sangat cemerlang, kami sepatutnya mendahului sebelum rehat dan Strakosha tidak banyak diuji. Kami melupakan kekecewaan di Chievo dan bangkit dengan karakter lebih hebat,” kata Inzaghi.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 10:09am
d