arena

Demam ganggu persiapan skuad remaja

Oleh Saiful Affendy Sapran

KEM karate negara menerima tamparan hebat selepas tiga atlet utamanya diketuai A Somanroy dilaporkan mengalami masalah kesihatan menjelang aksi pembukaan Kejuaraan Remaja Asia di Kota Kinabalu, esok.

Selain Somanroy yang beraksi dalam acara kumite 84 kilogram, nasib sama turut menimpa S Daneshkumar (-74kg) dan atlet wanita dalam pembikinan P Madhuri (50kg).

Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Tan Sri Ali Rustam menyifatkan ia bukan satu halangan besar seandainya terpaksa melupakan khidmat tiga atlet itu apatah lagi mereka mempunyai pengganti yang cukup ampuh.

“Kami sentiasa mencari atlet baharu jadi ia bukan masalah besar sekiranya kami terpaksa melupakan khidmat tiga atlet itu.

“Kejohanan ini juga dijadikan pentas buat kami mencungkil bakat baharu dan harapan saya semoga atlet baharu ini dapat menghadiahkan pingat emas.

“Berhubung tiga atlet utama itu kami masih menunggu keputusan doktor sama ada mereka boleh beraksi atau tidak selepas mengalami demam sejurus berakhir Kejohanan SEAKF di Bangkok baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejuaraan Remaja Asia yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas selama tiga hari bermula esok.

Selain tiga atlet itu, dua lagi atlet turut berada dalam pemerhatian iaitu S Pavitharan dan G Kathish kerana masalah sama dengan A Denishroy yang juga adik Somanroy terpaksa menarik diri.

Kejuaraan Remaja Asia edisi ke-18 akan menyaksikan seramai 544 atlet dari 33 negara bertarung dengan Jepun muncul sebagai pilihan utama.

Kali ini Malaysia membariskan seramai 44 atlet yang terbahagi kepada 34 atlet kumite dengan bakinya bagi kategori kata. Sabah pernah menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 1994.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 9:03pm
d