arena

Solskjaer yakin United 4 teratas

Oleh AFP

OLE Gunnar Solskjaer optimis Manchester United masih boleh layak ke Liga Juara-Juara musim depan walaupun prestasi mereka merudum dan terbaru tewas di tangan musuh setempat Manchester City.

United kini tewas tujuh daripada sembilan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, menyaksikan mereka tiga mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea dengan baki tiga perlawanan.

Namun mereka mendapat bantuan pasukan lain apabila Arsenal tewas 1-3 di tangan Wolverhampton Wanderers awal pagi tadi yang membuatkan pintu masih terbuka.

Kunjungan Chelsea ke Old Trafford Ahad ini menyebabkan Solskjaer meminta pasukannya untuk terus berjuang bagi layak ke Liga Juara-Juara walaupun tewas 0-2 kepada City awal pagi tadi.

“Kami perlu mempamer lebih kualiti Ahad ini dan jika kami menang perlawanan itu, ada lagi dua perlawanan perlu dilalui,” kata Solskjaer kepada laman web manutd.com.

“Sudah tentu kami mahu berada di kedudukan empat teratas. Saya masih belum merancang untuk bermain malam Khamis (dalam Liga Europa). Kami hanya perlu pastikan kami mendapat peluang Ahad ini.

“Ada tiga perlawanan sebelum penamat musim, kami ketinggalan tiga mata di belakang empat pasukan teratas dan tiada siapa memberikan kami peluang beberapa bulan lalu.

“Ia mungkin memberi kesan kepada pemain. Tugas saya sekarang melihat siapa yang sanggup berkorban untuk terus berada di sini.”

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 12:35am
d