arena

Sterling terima pengiktirafan

Oleh Reuters

PENYERANG Manchester City, Raheem Sterling menerima pengiktirafan di Anugerah Industri Sukan BT selepas lantang memperkatakan beberapa isu sosial termasuk perkauman.

Sterling dikenali dengan ketegasannya dalam menangani isu perkauman dalam sukan bola sepak dan mendesak tindakan lebih keras diambil ke atas mereka yang melakukannya.

Dia berkata pada awal bulan ini, pemain tidak perlu membiarkan sahaja dan perlu bersuara jika mereka mengalaminya.

"Saya hanya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri dan saya tak sangka ia mendapat perhatian. Saya cuma memperkatakannya dalam Instagram untuk perhatian pengikut saya," kata Sterling selepas menerima anugerah daripada jurulatih England, Gareth Southgate.

"Memang teruja apabila masyarakat mula mendengar dan cuba berubah ke arah lebih baik. Anda perlu menjadi contoh kepada generasi akan datang.”

Pemain berusia 24 tahun itu menandatangani manifesto awal minggu ini dengan berkata kelab perlu dihukum pemotongan sembilan mata dan beraksi tiga perlawanan dalam stadium kosong tanpa penonton jika penyokong mereka terbabit insiden berbaur perkauman.

Pengasas anugerah itu, Dow Jones Sports Intelligence mengucapkan tahniah di atas usaha Sterling itu.

"Dia memberikan keyakinan baru dan menyeru pemain dan atlet bersuara tidak seperti sebelum ini,” kata Ketua Bahagian Sukan Dow Jones, Simon Greenberg.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 7:45am
d