arena

Liverpool belasah Huddersfield

Oleh Agensi

LIVERPOOL kembali mendahului Manchester City di puncak carta Liga Perdana Inggeris selepas membelasah Huddersfield Town, 5-0 awal pagi ini.

Sadio Mane dan Mohamed Salah masing-masing menjaringkan dua gol tatkala Naby Keita menjaringkan gol pembukaan berdepan Huddersfield untuk kembali mendahului carta liga.

Selepas Manchester City mengambil alih kedudukan teratas liga susulan kemenangan di Old Trafford ke atas Manchester United, 2-0 Rabu lalu, skuad kendali Jurgen Klopp beraksi mengagumkan untuk memberi tekanan kepada barisan pimpinan Pep Guardiola - yang akan berdepan Burnley Ahad ini - dalam buruan kejuaraan liga.

The Reds tidak perlu tunggu lama untuk mendahului apabila Keita menyepak masuk antara jaringan terpantas Liverpool hanya dalam 15 saat, sebelum Mane menjaringkan gol menerusi tandukan untuk mendahului lawan.

Salah turut menjaringkan gol ketika penghujung babak pertama permainan tamat dan penyerang Mesir itu menggandakan jaringannya selepas Mane menanduk masuk gol keduanya dalam perlawanan itu.

Gandingan mantap dua tonggak yang membantu Liverpool itu memberi isyarat jelas menjelang pertembungan Liga Juara-Juara berdepan Barcelona minggu depan.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 7:25am
d