arena

SEMASHUR buat MCKK gigit jari

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PASUKAN ragbi Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) gagal mempertahankan kejuaraan apabila tewas tipis 19-22 kepada Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dalam final Kejohanan Ragbi Super Schools Fifteens, hari ini.

Pasukan bimbingan penolong jurulatih skuad kebangsaan, Mohd Romli Saad itu nyata tidak memberi laluan mudah kepada SEMASHUR yang ditewaskan tahun lalu apabila saling berbalas serangan untuk keputusan muktamad, 22-19.

Dalam perlawanan berlangsung di Stadium Proton City, Tanjung Malim, SEMASHUR mencuri tumpuan apabila mendahului MCKK menerusi dua 'try' oleh Harriz Ezzat Hamidon dan pemain sayap Muhammad Najmuddin Norhisham, pada minit ke-12 dan m-23.

MCKK berjaya menghasilkan satu 'try' menerusi Luqman Hakim Badrol Hisham m-27 dan kedudukan kekal 10-5 sehingga tamat separuh masa pertama.

Mata kemenangan SEMASHUR diperoleh menerusi dua lagi try dan satu conversion manakala MCKK turut menghasilkan dua try dan dua conversion. Menurut Mohd Romli Saad, beliau tetap berpuas hati biarpun anak buahnya tunduk kepada pasukan yang ditewaskan tahun lalu.

Katanya, seperti dijangka SEMASHUR berjaya menggunakan kelebihan skil individu dan taktikal untuk mengatasi pasukannya.

"Keseluruhannya, penyerang kami berjaya mengimbangi lawan menerusi tiga try yang dihasilkan.

Namun, kekurangan di bahagian pertahanan yang lambat menutup ruang, menyebabkan kami tewas.

"Tumpuan saya selepas ini untuk memantapkan lagi pasukan untuk persediaan kejohanan tahun depan," katanya.

Menerusi kemenangan itu, SEMASHUR yang dibimbing Mohd Salleh Abdul Hamid meraih wang tunai RM10,000 berserta Trofi Cabaran Pengerusi Malaysia Airports manakala MCKK memperoleh RM3,000.

Kejohanan Ragbi Super Schools Fifteens diadakan bagi menyokong agenda sukan ragbi di peringkat sekolah dengan penganjuran Kejohanan 15 Sebelah yang menampilkan sekolah ragbi terbaik di Malaysia bagi mengisi kelompongan pertandingan kompetitif.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 9:03pm
d