arena

Rennes juara Piala Perancis

Oleh AFP

KYLIAN Mbappe dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran pada lewat masa tambahan tatkala Paris Saint-Germain (PSG) tewas ke atas Rennes menerusi penentuan penalti 5-6 selepas terikat 2-2 dalam aksi berlarutan di masa tambahan pada final Liga Perancis, pagi ini.

Pemain gantian, Christopher Nkunku memastikan sepakan penalti penentuan menerjah jaring gol, untuk mencetuskan kegembiraan di kalangan peminat Rennes di Stade de France ketika pasukan itu memenangi trofi pertama mereka dalam tempoh lima tahun.

Ia adalah kebangkitan luar biasa daripada kelab Brittany itu, selepas jaringan Dani Alves dan Neymar memastikan juara Ligue 1, PSG mendahului 2-0 ketika 20 minit perlawanan separuh masa pertama berlangsung.

Barisan kendalian Thomas Tuchel seolah-olah mampu mencatat kejuaraan kedua di peringkat domestik namun jaringan sendiri Presnel Kimpembe sebelum waktu rehat memberi harapan kepada Rennes.

Tandukan Edson Mexer membolehkan pasukan itu menyamakan kedudukan pada minit ke-66 untuk membawa permainan berlarutan sehingga masa tambahan - perlawanan masa tambahan turut dihadiri Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Penentuan sepakan penalti dilihat hampir pasti apabila Mbappe dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Ruddy Buquet kerana melakukan terjahan keras ke atas Damien Da Silva berhampiran tiang bendera penjuru padang.

"Dia (Mbappe) berdepan kecederaan ringan pada otot semalam, dia berhenti menjalani latihan lebih awal dan pergi ke hospital untuk melakukan ujian. Mungkin itu yang berada di dalam fikirannya.” kata Tuchel.

“Kamu dapat rasakan dia mempunyai kurang keyakinan dan tidak berasa bebas. Layangan kad merah di hujung permainan, bukan dirinya yang sebenar.”

“Saya kecewa,” kata Neymar. “Kami berusaha keras untuk itu, namun tidak ada guna menangis kerana ini sekarang. Tiada apa yang kami boleh lakukan.”

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 9:19am
d