arena

Nada positif Nadal

Oleh AFP

RAFAEL Nadal tidak mengetahui sama ada penyandang Juara Terbuka Perancis itu dikatakan berdepan krisis keyakinan, malah dia gembira mengharungi ‘minggu terbaik’ di Barcelona biarpun tewas mudah selepas tersingkir di separuh akhir Kejohanan Terbuka Barcelona yang dimenangi sebanyak 11 kali itu.

Pemain Sepanyol itu tewas 4-6, 4-6 kepada Dominic Thiem, hanya seminggu selepas dinafikan sebagai juara Monte Carlo Masters oleh Fabio Fognini juga di peringkat separuh akhir.

Ia kemenangan keempat Thiem di gelanggang tanah liat ke atas Nadal yang tidak pernah tewas pada kejohanan di Barcelona pada peringkat separuh akhir.

Dengan hanya empat minggu lagi untuk memulakan aksi di Roland Garros, di mana dia sebagai penyandang juara dan 11 kali juara, Nadal yang berusia 32 tahun berkata dia berada pada keadaan yang baik dan gemarkan cabaran seperti itu.

“Ia adalah minggu yang cukup positif,” kata pemenang 17 kali Grand Slam itu. “Saya datang daripada pelbagai situasi dari bawah sebelum menyertai kejohanan di Monte Carlo.”

“Hari ini adalah hari pertama saya berasakan begitu yakin beraksi di gelanggang tanah liat, ia adalah perlawanan terbaik di permukaan gelanggang itu pada tahun ini. Keyakinan saya kembali semula terima kasih untuk minggu ini.

“Saya percaya sudah melakukan peningkatan. Ini adalah pentas sesuai untuk melakukannya dan menepati sasaran untuk beberapa minggu akan datang.”

Pemain Austria yang juga pilihan ketiga kejohanan, Thiem pernah ditewaskan Nadal pada final Terbuka Perancis 2018 sebelum melakukan kejutan ke atas Nadal.

Bagaimanapun, Thiem tidak mahu mengisytiharkan kejayaan itu adalah yang terbaik buat dirinya di gelanggang tanah liat.

“Sudah pasti, ini adalah antara kemenangan terbaik saya di gelanggang tanah liat. Ia sentiasa memerlukan persembahan luar biasa untuk menewaskan Rafa (Rafael Nadal),” katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 10:17am
d