arena

Joo Ven harap tak 'dibuang'

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven tidak mahu tersingkir di saat akhir ataupun hanya menjadi penumpang selepas berada dalam senarai awal 20 pemain ke Piala Sudirman bulan depan.

Menurut pemain juara kebangsaan itu, dia memang teruja selepas namanya berada dalam senarai awal ke kejohanan berkenaan sebelum Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memendekkannya kepada 16 pemain selepas ini.

“Saya berasa teruja kerana menjadi sebahagian daripada skuad ini dan sekarang saya harus memberikan aksi terbaik untuk kejohanan akan datang,” katanya.

Ujar pemain berusia 24 tahun itu, dia harus membuktikan dirinya layak berada dalam skuad berkenaan dengan memberikan persembahan meyakinkan bukan hanya di kejohanan antarabangsa malah ketika menjalani latihan.

“Sudah tentu dengan pengumuman ini, ia akan menaikkan keyakinan saya, malah saya bertambah yakin apabila berjaya muncul juara kebangsaan (Februari lalu).

“Selepas ini saya akan mengambil bahagian di Terbuka New Zealand dan ia agak sukar kerana saya perlu melalui pusingan kelayakan serta berdepan Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand, jika dapat mengalahkan Henrikho Kho Wibowo dalam aksi pertama,” katanya.

Ditanya adakah dia sudah merasakan sedikit tekanan selepas ketiadaan Datuk Lee Chong Wei di beberapa kejohanan peringkat antarabangsa, pemain kelahiran Kuala Lumpur mengakui bahawa semuanya bergantung kepada diri sendiri.

“Tidak kisah sama ada Chong Wei ada atau tidak bersama skuad, semuanya bergantung kepada kita sendiri yang beraksi untuk negara. Bagaimanapun, saya rasa dia akan kembali beraksi. Semuanya bergantung kepada tahap kecergasannya dan tidak perlu terburu-buru,” kata Joo Ven.

Selain muncul juara Kejohanan Kebangsaan, aksi terbaik Joo Ven setakat ini ialah berjaya mara ke suku akhir Terbuka Jerman.

Dua lagi pemain perseorangan lelaki yang disenaraikan dalam skuad awal ke Piala Sudirman ialah Lee Zii Jia dan Cheam June Wei.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 6:41pm
d