arena

Shafiy mahu kekal momentum

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

BIARPUN mengakui tidak begitu cergas, pemain pelapis kebangsaan, Muhammad Shafiy Zaim tidak rela terlepas peluang beraksi pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia edisi ke-40 yang membuka tirai Jumaat lalu.

Ini kerana visinya untuk meraih sekurang-kurangnya satu gelaran dan meneruskan momentum kemenangan di Kejohanan Boling Terbuka Thailand baru-baru ini.

Muhammad Shafiy berkata, dia terbabit kemalangan motosikal dua minggu sebelum meraih emas di Thailand bagi kategori remaja Bawah-21 tahun.

“Saya hanya mengalami luka di bahagian luaran saja dan mendapatkan rawatan doktor sebelum menyertai kejohanan di Thailand.

“Namun selepas pulang, saya mula mengalami kesakitan di kedua-dua pergelangan kaki terutama ketika latihan, tapi saya bertekad dan yakin beraksi dalam kejohanan ini,” katanya ditemui di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, hari ini.

Menurutnya, dia bertekad memberikan aksi terbaik bagi membuktikan kemampuannya yang bersaing di Terbuka Antarabangsa Malaysia buat julung kalinya.

“Saya lihat cabaran utama pasti daripada atlet boling dari Korea Selatan yang mempunyai ketepatan dan teknik balingan sempurna.

“Memang berdebar kerana bawa nama Malaysia, harap dapat melakukan yang terbaik,” katanya yang mempunyai catatan purata terbaik 243 jatuhan pin.

Menurut atlet berasal dari Perlis itu, dua kejohanan utama menanti selepas ini adalah Terbuka Sarawak dan Terbuka Singapura.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 11:15pm
d