arena

Mujur ada gol Aguero

Oleh Reuters

GOL tunggal Sergio Aguero memastikan Manchester City kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris hasil kemenangan 1-0 ke atas Burnley di Turf Moor malam ini.

Skuad Pep Guardiola kini perlu memenangi baki perlawanan mereka di laman sendiri menentang Leicester City dan Brighton di tempat lawan untuk mempertahankan gelaran dan mengekang kemaraan Liverpool yang kini di tangga kedua.

City memecah kebuntuan pada minit ke-63 menerusi jaringan yang tidak sempurna apabila percubaan Aguero berjaya ditolak dengan dada oleh Matt Lowton di garisan gol tetapi VAR mengesahkan bola itu melepasi garisan gol.

City bergelut mendapatkan rentak biasa mereka pada separuh masa pertama namun lebih garang selepas rehat dan penjaga gol Burnley Tom Heaton berjaya mengekang percubaan Aguero.

Burnley bernasib baik melepasi rayuan penalti apabila rembatan Bernardo Silva terkena lengan pemain Burnley Ashley Barnes.

Heaton terus berjaya menangkis cubaan lawan, kali ini daripada Bernardo Silva, sebelum City akhirnya mendahului saingan.

Raheem Sterling hampir meledak gol kedua namun pertahanan Burnley Ben Mee berjaya mengeluarkan bola bagi meneruskan penguasaan Clarets dalam perlawanan itu.

Burnley bagaimanapun terpaksa bekerja keras pada babak akhir apabila Guardiola membawa masuk dua pertahanan bagi membolehkan City kekal mempertahankan tiga mata.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 11:54pm
d