arena

Dollah terkilan gagal sekat JDT

Oleh Asrol Awang

JURULATIH Pahang, Dollah Salleh meluahkan rasa terkilan selepas skuad kendaliannya itu hanya mampu terikat 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, keputusan seri itu juga menyebabkan misi merampas kedudukan selaku peneraju Liga Super tidak kesampaian.

"Memang terkilan kerana kelebihan yang dimiliki selepas lawan beraksi dengan 10 pemain sepanjang tempoh 45 minit perlawanan (separuh masa kedua) tidak digunakan sebaik mungkin.

"Pemain pamer permainan terlalu berhati-hati, sedangkan kita perlu mengambil kelebihan untuk menambah jaringan.

"Dengan keputusan seri ini, saya kecewa kerana pemain tidak mempamerkan aksi terbaik mereka, walaupun bangkit selepas dikejutkan dengan jaringan JDT di awal perlawanan," katanya.

Mengulas gol pendahuluan JDT seawal minit keempat, Dollah berkata, kelekaan jentera pertahanan membuka ruang kepada skuad Harimau Selatan menghukum Pahang.

Katanya, kebangkitan menyamakan kedudukan 1-1 dipuji namun pemain gagal beraksi lebih baik, terutama pada babak kedua.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 12:06pm
d