arena

Hafiz, Gillian sasar podium

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PEMAIN pelapis negara, Muhammad Hafiz Zainuddin dan Gillian Lim enggan terlalu optimis namun menyasarkan podium pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia 2019 edisi ke-40 bermula Jumaat lalu.

Bagi Hafiz, peluang pemain tuan rumah untuk mencipta kejutan tetap ada dan perlu fokus serta yakin berdepan pemain luar negara.

"Peluang memang terbuka, walaupun ramai pemain hebat menyertai kejohanan kali ini. Paling penting perlu ada mentaliti yang kuat dan tidak cepat mengalah.

"Dengan latihan yang dijalani serta tunjuk ajar jurulatih, saya yakin kami mampu beri saingan," katanya ditemui di Sunway Mega Lanes, di sini, semalam.

Muhammad Hafiz, 19, yang meraih tiga perak dalam acara beregu, 'All Events' dan 'Masters' Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia (AYTBC) 2019 baru-baru ini berkata, dia yakin mengisi slot 24 pemain layak ke final kategori terbuka remaja.

"Menerusi kejohanan ini juga saya harap dapat belajar sesuatu terutama teknik permainan daripada atlet boling antarabangsa yang lain," katanya.

Sementara itu, Gillian yang memenangi pingat emas Masters Wanita di AYTBC menetapkan sasaran muncul tiga terbaik.

Katanya, sejak diserapkan ke program pelapis tahun lalu, mutu permainannya semakin meningkat di bawah tunjuk ajar jurulatih Wendy Chai.

"Saya tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi, bimbang tidak tercapai. Yang penting jangan terlalu tertekan fikirkan sasaran tapi bertanding dengan ceria," katanya.

Anak jati Sarawak ini berkata, dia menjangkakan saingan hebat daripada atlet Singapura iaitu Charmaine Chang.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 6:25pm
d