arena

Dengan Itali pun boleh kalah?

Oleh Saiful Affendy Sapran

MEMALUKAN. Mungkin itu ungkapan paling tepat menggambarkan bagaimana skuad hoki negara tewas kepada Itali - pasukan yang menduduki ranking paling rendah di Pusingan Akhir Siri FIH - apabila tewas 2-4 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B malam ini.

Skuad negara yang turun dengan reputasi menduduki tangga ke-13 dunia, umpama tiada jawapan menafikan kemenangan lawan yang sekadar di kedudukan ke-32.

Dengan kekalahan itu, skuad negara yang menduduki tempat kedua Kumpulan B dan akan bertemu pasukan ketiga Kumpulan A, Wales untuk aksi play off bagi mencari slot ke separuh akhir, Rabu ini.

Manakala Itali unggul di tangga teratas meraih sembilan mata penuh hasil tiga perlawanan dan akan terus beraksi di pentas separuh akhir, Jumaat ini.

Malaysian Tigers dihadiahkan pukulan sudut penalti pertama minit ke-6 tetapi peluang itu disia-siakan begitu saja.

Sebaliknya Itali mengejutkan anak buah Roelant Oltmans apabila menjaringkan gol pembukaan menerusi pukulan sudut penalti Thomas Keenan minit ke-9.

Skuad negara berpeluang untuk menyamakan kedudukan selepas memperoleh pukulan sudut penalti kedua di hujung suku pertama tetapi tolakan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan susulan Muhammad Najmi Farizal Jazlan gagal menghasilkan gol.

Malaysia akhirnya memperoleh gol penyamaan minit ke-26 selepas Faizal Saari menolak kencang ke penjuru kiri atas gawang lawan hasil pukulan sudut penalti.

Pietro Lago berpeluang menambah gol kedua Itali menerusi satu serangan balas tetapi penjaga gol negara, Hafizuddin Otman tenang menafikan cubaannya pada hujung suku kedua.

Skuad negara kembali tertekan selepas Agustin Nunez kembali meletakkan Itali di depan minit ke-31 menerusi gol padang namun Razie Abd Rahim pantas menyamakan kedudukan empat minit kemudian hasil pukulan sudut penalti.

Itali kembali di depan minit ke-43 selepas Agustin Nunez menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum Francois Sior menambah gol keempat dua minit kemudian.

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 9:54pm
d