arena

Zonjic mahu rantai 'peluru' Tok Gajah

Oleh Malik Muhamad

KERETA kebal Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic bertekad merantai rangkaian penyerang Pahang daripada bergerak bebas apabila dua pasukan Pantai Timur itu membuat perhitungan dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, esok.

Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pemain kelahiran Montenegro itu juga mahu memastikan pintu gol pasukannya tidak bolos biar pun sedar bakal diancam 'peluru' skuad Tok Gajah itu.

"Kami perlu memberikan aksi terbaik menentang Pahang apatah lagi bermain di tempat sendiri dan di depan penyokong sendiri.

"Ini motivasi bagus kepada kami sebelum berdepan lawan sama pada 10 Mei nanti. Saya bersama rakan sepasukan sudah bersedia membalas dendam kekalahan 0-3 dalam saingan liga tempoh hari.

"Mengenai kemungkinan penyerang utama, Dickson Nwakaeme tidak dapat diturunkan akibat kecederaan, saya tidak peduli kerana berperdapat penyerang lain skuad itu juga harus dirantai termasuk Mohamadou Sumareh kerana dia pemain lincah sebagaimana dilihat ketika menentang mereka di Kuantan.

"Justeru, saya berjanji akan memberikan yang terbaik dan jika ditanya adakah kami mampu menundukkan lawan, sudah semestinya kami boleh menang berdasarkan prestasi semasa," kata Zonjic.

Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan Bawah-21 tahun Montenegro itu mengharapkan strategi direncanakan jurulatih menjadi untuk menjerat skuad Tok Gajah.

"Selain itu, saya menggesa rakan sepasukan tidak cepat mengalah dan berpuas hati sama ada mendahului atau ketinggalan di samping mahukan peminat setia membanjiri stadium," kata pemain berusia 28 tahun itu.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 4:30pm
d