arena

Padam memori pahit

Oleh Saiful Affendy Sapran

SELEPAS mengalami detik sukar apabila terjatuh di Grand Prix Amerika Syarikat yang menjejaskan prestasinya pada perlumbaan sebenar, pelumba Moto2 negara Khairul Idham Pawi berharap dapat kembali memungut pada di GP Sepanyol hujung minggu ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu yang mendapat gelaran Super KIP berkata, tahap kesihatannya kini semakin baik selepas insiden di Amerika Syarikat dan dia cukup bersedia beraksi di Litar Jerez yang menjadi salah satu litar kegemarannya.

"Saya menggemari Litar Jerez kerana reka bentuknya selain kenangan beraksi sebelum ini.

"Saya dapat memungut mata di saingan Moto3 pada 2016 dan ketika musim pertama di Moto2, saya berada di kedudukan 10 terbaik sebelum terbabit dengan kemalangan," katanya.

Khairul berharap nasibnya pada perlumbaan hujung minggu ini akan lebih baik terutamanya dalam usahanya untuk memungut mata selepas kali terakhir melakukannya di GP Argentina.

"Kami pernah melakukan beberapa siri ujian di sini.

Harap ia akan lebih memudahkan kami untuk melakukan perancangan pada perlumbaan nanti.

"Saya mahu beraksi dengan baik dan melupakan peristiwa di Austin.

Harap ia akan menjadi perlumbaan yang cukup positif untuk kami," katanya.

Selepas tiga perlumbaan, Khairul kini menduduki tempat ke-21 kedudukan pelumba Moto2 dengan tiga mata.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 5:39pm
d