arena

Pengalaman mampu 'tenangkan' City

Oleh AFP

JOHN Stones berkata suasana di bilik persalinan Manchester City penting dalam misi menamatkan saingan di depan Liverpool dalam perburuan gelaran Liga Perdana Inggeris.

City akan mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris jika mereka menang dua perlawanan terakhir iaitu menentang Leicester di laman sendiri dan Brighton di tempat lawan, namun dengan Liverpool hanya satu mata di belakang mereka, tiada ruang untuk melakukan kesilapan.

Dalam senario yang berbeza musim lalu, City menjulang gelaran berbaki lima perlawanan dengan rekod 19 mata mendahului pencabar terdekat mereka Manchester United.

“Pada ketika ini musim lalu, gelaran sudah ditentukan,” kata pertahanan Stones.

“Ia satu situasi yang aneh kerana sebahagian daripada kami tidak pernah berdepan situasi seperti ini.

“Saya fikir Vinny (Kompany) berkata bahawa ada ketikanya ia membuat anda bangkit sebagai pemain yang lebih baik, tetapi sebagai pemain dia, David (Silva), Sergio (Aguero) dan beberapa pemain pernah berdepan situasi ini.

“Mereka tahu bagaimana perasaannya dan bagaimana mengatasinya.

“Kami perlu dibimbing mereka dan cuba belajar daripadanya. Ia membuatkan segala-galannya mengujakan, membuatkan semuanya berjaga-jaga.”

Pemain England itu berkata saingan sengit itu “membuatkan kami lebih bernafsu untuk terus menang, mengawal tekanan dan terus berjuang hingga kami tidak berdaya. Sesuatu yang mengujakan apabila menjadi sebahagian daripadanya.”

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 7:53pm
d