arena

Sarri terdesak penamat gemilang

Oleh AFP

MAURIZIO Sarri mencabar Chelsea untuk mencatat penamat menakjubkan dalam musim terumbang-ambing yang mencetus kekecohan di kelab itu dan mengancam kedudukan pengendali dari Itali itu.

Pasukan Sarri bertandang ke Eintracht Frankfurt bagi separuh akhir pertama Liga Europa awal pagi Jumaat ini menyedari mereka ada lima perlawanan untuk menyelamatkan kempen yang bermasalah.

Blues menghuni tangga keempat Liga Perdana Inggeris dengan berbaki dua perlawanan, menentang Watford dan Leicester, bagi memburu tiket ke Liga Juara-Juara.

Chelsea mendahului dua mata di depan pasukan tangga kelima Arsenal dan tiga di depan pasukan tangga keenam Manchester United.

Mereka turut menjadi pilihan untuk layak ke final Liga Europa selepas diundi bertemu kelab kurang ternama Eintracht pada separuh akhir.

Layak ke Liga Juara-Juara, sama ada dengan memenangi Liga Europa atau berakhir dalam kelompok empat teratas Liga Perdana, pasti satu pencapaian menarik memandangkan masalah yang dialami Chelsea musim ini.

Selepas tempoh sukar yang menyaksikan beliau hampir dipecat, bos Chelsea, Sarri berjaya mengekalkan jawatannya ketika mengemudi kelab barat London itu menuju penamat mengagumkan.

Menggesa pemainnya menamatkan tugas mereka dengan jaya, Sarri berkata: “Kami berjuang untuk kelompok empat teratas dan di separuh akhir Liga Europa. Kami sudah bertindak baik musim ini.

“Kini kami perlu menyelesaikan dua sasaran yang amat penting.”

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 11:48am
d