arena

Rose mahu bangkit di Quail Hollow

Oleh AFP

PEMAIN nombor dua dunia Justin Rose kembali beraksi minggu ini buat kali pertama sejak kegagalan layak ke dua pusingan terakhir Masters AS, menyatakan dia “teruja” dengan baki kejohanan musim ini.

“Saya berasakan ada sedikit tumpuan semula dan dedikasi serta motivasi baru yang saya temui dalam seminggu dua ini,” kata Rose semalam menjelang Kejohanan Wells Fargo dalam Jelajah PGA AS di Quail Hollow, Charlotte, North Carolina.

“Saya teruja dengan apa yang saya boleh perbaiki hingga hujung musim ini.”

Rose menduduki ranking nombor satu dunia apabila dia tiba di Augusta National bagi kejohanan utama pertama musim ini.

Dia gagal sekurang-kurangnya mencatat par bagi dua pusingan pertama, terlepas had kelayakan buat kali pertama dalam 14 penampilan Masters.

Rose berkata, jadual padat pada Mac – selepas dia memutuskan tidak bermain pada Februari – menyebabkan dia keletihan sekali gus gagal memperagakan persembahan terbaik di Augusta.

Dia mahu mengubah pendekatannya bagi kejohanan utama berikutnya tahun ini, bermula pada Kejuaraan PGA di Bethpage Black, New York bulan depan.

Rose bercadang menggunakan pendekatan sama digunakannya sebelum kemenangan pada Terbuka AS 2013 di Merion.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 2:23pm
d