arena

Juwaidi, Cheong Min dinobat Olahragawan, Olahragawati Melaka

Oleh Nazri Abu Bakar

sukanteam.nstp.com

DUA atlet negara, Mohd Juwaidi Marzuki dari sukan memanah dan Tan Cheong Min (wushu) masing-masing muncul Olahragawan dan Olahragawati sempena Majlis Anugerah Sukan anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka.

Mohd Juwaidi yang juga atlet Melaka pertama beraksi dalam sukan itu di Sukan Sea 2017 meraih dua emas acara berpasukan dan satu emas dalam kategori individu.

Dalam Sukan Asia 2018, beliau meraih gangsa acara compound berpasukan lelaki.

Anak kelahiran Ayer Keroh itu turut mencipta tiga rekod kebangsaan dalam acara 50m individu serta 50m double dan campuran.

Cheong Min pula meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa di Kejohanan Wushu Dunia Kazan, Russia 2017.

Bagaimanapun atlet terbabit tidak hadir berikutan sedang menjalani latihan di Tokyo, Jepun sehingga 5 Mei ini.

Kedua-dua atlet itu, masing-masing menerima piala, hadiah iringan dan wang tunai RM3,000 serta sijil.

Hadiah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di MSN Melaka, malam tadi.

Hadir, Ketua Menteri, Adly Zahari dan EXCO Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Sukan, Kerk Chee Yee.

Anugerah olahragawan dan Olahragawati harapan milik Siow Yee Xian (squasy) dan Toh Ee Wei (badminton).

Dua atlet badminton negara, Goh Soon Huat dan Goh Liu Ying serta Mohd Juwaidi memperolehi insentif kemenangan atas kejayaan menyumbang pingat di Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Soon Huat menerima RM25,000 selepas menyumbang perak berpasukan campuran pada Sukan Komanwel 2018, Liu Ying (RM40,000) selepas mencipta perak berpasukan dan gangsa beregu campuran di sukan sama.

Mohd Juwaidi turut meraih RM15,000 menerusi gangsa compound berpasukan di Sukan Asia tahun lalu.

Anugerah pegawai terbaik pula milik jurulatih futsal, Mohd I'sah Abd Rahim diikuti pasukan terbaik lelaki (futsal) dan pasukan wanita terbaik dari sukan golf.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 4:02pm
d