arena

Poad lega ISN perkuat fizikal Speedy Jantan

Oleh Aida Adilah Mat

PEMBABITAN Institut Sukan Negara (ISN) sangat dialu-alukan oleh jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim dalam usaha mengembalikan penguasaan atlet pecut negara Khairul Hafiz Jantan dalam acara pecut.

Poad yang membimbing Khairul Hafiz yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur itu berkata, kerjasama dengan ISN memang sesuatu yang diharapkan ketika kemampuan pelari muda Indonesia, Lalu Muhammad Zohri tidak dapat dinafikan lagi.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang merangka strategi membentuk fizikal pelari yang dikenali dengan jolokan The Speedy Jantan itu agar lebih mantap.

Perkara itu dilihat satu positif buat Poad yang kini menjalinkan kerjasama rapat bersama Ketua Pusat, Sukan Kekuatan dan Daya Tahan ISN yang juga ahli Kesatuan Statistik Balapan dan Padang (ATFS), Jad Adrian Washif.

"Sudah sebulan Khairul berada di ISN di bawah kendalian Jad. Jad akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini Khairul.

"Saya turut dimaklumkan bahawa kecederaan Khairul juga sudah pulih dan berat badannya juga sudah meningkat," kata Poad.

Menerusi apa dimaklumkan oleh Jad, Poad menjelaskan bahawa kekuatan bahagian atas badan Khairul sudah kuat dan ISN akan memantau bahagian bawah pula.

"Minggu depan dia akan membuat pemeriksaan doktor di ISN berhubung kecederaan yang dialami. Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar Khairul akan kembali berlatih di SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail).

"Inilah saya inginkan daripada ISN. Pembabitan penuh ISN dalam membantu perkembangan atlet," katanya yang menjelaskan pemegang rekod kebangsaan itu dijangka akan menyertai pertandingan pertamanya di Kejohanan Universiti Dunia di Itali, Julai nanti.

Sementara itu Poad yang juga membimbing beberapa atlet lain seperti Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail berkata, kerjasama bersama ISN adalah sesuatu yang baik dan beliau yakin perubahan akan dapat dilihat nanti.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 6:20pm
d