arena

Malaysian Tigers singkirkan Wales

Oleh Saiful Affendy Sapran

SKUAD hoki lelaki negara menewaskan Wales 2-1 pada aksi play off Pusingan Akhir Siri FIH, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Namun kemenangan itu masih kurang meyakinkan mengambil kira prestasi Malaysia yang masih kurang memuaskan dan bergelut untuk menewaskan Wales yang menduduki ranking ke-24 dunia.

Skuad bimbingan Roelant Oltmans akan bertemu Austria, Jumaat ini pada aksi separuh akhir selepas gagal muncul juara Kumpulan B untuk terus melangkah ke saingan empat pasukan terbaik.

Kedua-dua pasukan mempamer permainan seimbang sepanjang separuh masa pertama dengan skuad negara memperoleh pukulan sudut penalti pertama minit ke-12 biasan Fitri Saari berpunca tolakan Razie Rahim sedikit tersasar.

Malaysian Tigers memperoleh pukulan sudut penalti kedua minit ke-21, tetapi ia juga gagal menghasilkan gol.

Saat yang ditunggu-tunggu skuad negara muncul juga pada minit ke-27 selepas penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menolak deras di tengah kawasan D lawan.

Wales berpeluang untuk merapatkan jurang selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti minit ke-32 namun kedua-duanya disia-siakan begitu saja.

Malaysia memperoleh pukulan sudut penalti ketiga minit ke-37 tetapi skrip sama berlaku apabila tidak dapat menghasilkan gol.

Penyerang negara, Faizal Saari menambah gol kedua skuad negara selepas menerima hantaran jauh dari Razie sebelum melakukan pukulan kilas minit ke-40. Luke Hawker merapatkan jurang untuk Wales minit ke-56 namun ia sudah terlambat untuk menafikan kemenangan skuad negara.

Disiarkan pada: May 1, 2019 @ 9:42pm
d